Wednesday, December 22, 2010

JONGKONG EMAS PELABURAN TERBAIK

MINGGUAN MALAYSIA.
Ahad;19 Disember 2010.

JONGKONG EMAS PELABURAN TERBAIK


Siapa yang tidak tertarik dengan emas? Sekali pun ada yang mengaku tidak meminati perhiasan antara mineral paling berharga itu, percayalah mereka tetap ingin memilikinya kerana sedar nilai yang tinggi. Tidak seperti nilai mata wang yang menyusut berikutan tekanan inflasi, harga emas pula terus melonjak dari tahun ke tahun tanpa sedikit pun menunjukkan penurunan. Mengimbas situasi 10 tahun lalu, harga emas ketika itu adalah sekitar RM80 bagi satu gram emas. Sementara harga pada 10 November lalu pula dicatatkan bernilai RM166 bagi satu gram emas 999. Ini menunjukkan peningkatan hampir 100 peratus dan ia terus meningkat minggu demi minggu. Jesteru tidak hairan emas kini menjadi pelaburan yang semakin diminati ramai.                                              
“Emas merupakan pelaburan terbaik masa kini. Jika anda menyimpan wang di bank, ia belum tentu selamat kerana sejarah pernah membuktikan beberapa bank terpaksa ditutup ekoran krisis ekonomi selain penyusutan nilai wang, begitu juga dengan pelaburan jenis lain,” kata Setiausaha Kehormat Persatuan Pengusaha Jongkong Emas Malaysia, Datuk Joseph Kow. Menyedari ramai kurang gemar memakai perhiasan emas kerana faktor keselamatan, pelaburan jongkong kata beliau adalah pilihan terbaik.
“Kes jenayah yang meningkat terutama melibatkan ragut dan rompak meyebabkan ramai orang tidak suka memakai perhiasan emas. Pemilihan pelaburan cara jongkong emas merupakan kaedah terbaik dan terdapat pelbagai cara untuk melindunginya,” kata beliau. Namun begitu katanya, membeli jongkong bukanlah seperti membeli emas di kedai. Tidak kena tempat dan kurang pemahaman mengenainya menyebabkan ramai mangsa dimanipulasi sindiket yang berkaitan. Katanya, pembeli harus mengetahui tempat yang sesuai untuk membeli selain mengenali sama ada sesuatu jongkong itu tulen atau sebaliknya. Jesteru, kewujudan persatuan tersebut jelasnya bertujuan memberi pengetahuan kepada pelabur mengenai pelaburan yang tepat di samping kesedaran kepada masyarakat Malaysia mengenai nilai emas.
“Bagaimana untuk mengenalpasti jongkong yang tulen?” soal beliau. Menurut beliau, setiap pembelian jongkon emas akan disertakan dengan sijil dan terdapat cetakan khas pada jongkong itu sendiri. Pihaknya turut menerima beberapa aduan mengenai jongkong tiruan yang dijual di kedai emas. Jesteru beliau menasihatkan pembeli agar membeli terus daripada wakil yang berdaftar di bawah pertubuhan agar tidak mudah terpedaya. Menurut beliau terdapat lima jenis jongkong emas yang popular iaitu 916, 917, 376, 910 dan 999.
Dalam pada itu kata Joseph, pihaknya juga sedang berurusan dengan panel penasihat untuk mendapatkan pandangan jelas mengenai beberapa perkara yang berkaitan dengan hukum Islam dalam pelaburan jongkong emas. “Kami sedar, antara perkara yang  menyebabkan ramai masyarakat Islam kurang melibatkan diri dengan pelaburan jongkong emas disebabkan belum ada panduan yang jelas mengenai keuntungan pelaburan atau hiba’ sama ada perlu dibayar zakat dan berapa jumlahnya. “Dalam masa yang terdekat ini, kami sedang mendapatkan pandangan yang tepat mengenainya,” kata beliau.
Berikutan harga jongkong emas yang stabil masa ini, Joseph turut menyeru penglibatan ramai menyertai palaburan jenis itu. Katanya, berbeza dengan rakyat negara jiran Thailand yang semakin meminati pelaburan jongkong emas, rata-rata masyarakat di negara ini masih belum sedar dengan nilainya yang tinggi. “Emas diterima di seluruh dunia. Seandainya anda pergi ke sesuatu negara dan kehabisan wang tunai, emas boleh menjadi pengganti,”katanya mengakhiri perbualan.

FAKTA JONGKONG EMAS
  • 1.       Ketul logam emas yang berbentuk empat segi.
  • 2.       Jongkong emas yang dihasilkan dengan menggunakan kira-kira 99.999% emas.
  • 3.       Setiap jongkong emas mempunyai sijil ketulenan yang disahkan Certified Assayer.
  • 4.       Jongkong yang terlalu tebal mungkin mengandungi kurang kandungan emas 916.
  • 5.       Jongkong emas yang popular ialah 916 dan 999.